6 Sept 2012

David Teo Mahu Terbitkan Lebih Banyak Filem Bercorak Islamik


PENERBIT filem terkenal tanahair, David Teo tanpa berselindung mengakui bahawa walaupun filem terbaru terbitannya, 'Salam Cinta' yang mengenengahkan filem bergenre Islamik mungkin tidak mampu mencatat kutipan pecah panggung, namun ia sama sekali tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus menerbitkan filem berbentuk Islamik ini.

David yang ditemui pada Majlis Pra-tonton filem 'Salam Cinta' di Sunway Pyramid malam semalam, turut menyifatkan, penghasilan sesebuah naskah atau filem bercorak Islamik bukanlah sesuatu yang mudah seperti filem bergenre lain kerana ia memerlukan pemahaman dan pengetahuan yang tepat berlandaskan ajaran Islam.

"Filem berbentuk dakwah atau Islamik ini bukanlah satu genre yang senang dihasilkan, ramai penerbit dan pengarah di negara ini tidak berani untuk menghasilkan filem sebegini. Ia bukan saja dilihat dari segi penghasilan, namun faktor untung juga turut diambil kira.

'Salam Cinta' arahan Azhari Zain merupakan filem ke-63 terbitan Metrowealth Movies Production dan merupakan filem Islamik terbaru yang pernah dihasilkan oleh produksi tersebut selepas filem Islamik pertama, 'Syukur 21' pada tahun 2000.

Tambah David, dengan penerimaan positif para penonton terutamanya sambutan daripada peminat filem bergenre Islamik, dia berhasrat untuk menerbitkan lebih banyak filem bergenre ini untuk tatapan umum.


 "Tahun ini hanya sebuah filem Islamik diterbitkan, tapi pada tahun hadapan saya berhasrat untuk menambah pengeluaran filem Islamik daripada lima ke 10 buah setahun. Kalau sudah tidak ada sesiapa yang mahu  buat,biar saya yang buat.

"Biar tidak untung, asal jangan bagi rugi saya, itu sudah memadai," ujarnya berseloroh.

David turut memuji keberanian pengarah filem ini, Azahari Zain yang sebelum ini pernah mengarahkan filem bergenre sama, '7 Petala Cinta' kerana berani menyahut cabaran mengarahkan filem ini.

"Seperti yang saya kata tadi, ramai pengarah yang tidak berani mengarahkan filem sebegini dan saya puji keberanian Azhari yang tidak pernah patah semangat untuk terus menghasilkan filem berunsur dakwah," Jelas David.

David turut melihat filem ini seakan mengambarkan transisi heroin filem ini yang juga bintang kelahiran Metrowealth, Diana Amir suatu ketika dulu sebelum mengambil keputusan mengenakan hijab.

"Sebelum ini, Diana Amir tampil dengan penampilan agak seksi menerusi filem pertamanya, 'Aku Masih Dara' terbitan Metrowealth, dan kini dalam filem kedua lakonannya, 'Salam Cinta' pula, Diana tampil lebih sopan mengenakan tudung. Ia secara langsung memperlihatkan Diana sebelum dan selepas berhijrah," ujar David tersenyum.

'Salam Cinta' yang membariskan lakonan mantap barisan pelakon seperti Kamal Adli, Diana Amir, Syk Balas serta ramai lagi bakal ditayangkan di pawagam bermula 6 Spetember ini.

Antara filem-filem MIG yang turut menemui penonton tidak lami lagi adalah seperti 'Aji Noh Motor' (20 September 2012, 'Taikun' (4 Oktober 2012), 'Aku Terima Nikahnya' (11 Oktober 2012), 'Pe-3' (18 Oktober 2012), 'Budak Pailang' (1 November 2012) dan 'Ajiboy' pada 8 November ini.

0 comments:

Post a Comment