Showing posts with label BERITA. Show all posts
Showing posts with label BERITA. Show all posts

10 Jun 2013

SANTAI BERITA :: PENURUNAN HARGA 10 KERETA FASA PERTAMA

 

Menerusi laporan berita yang memaklumkan, 10 buah model kereta telah mencatatkan penurunan harga di pasaran.

Perkara ini berkaitan dengan langkah kerajaan untuk menurunkan harga kereta secara berperingkat sebagai memenuhi “aku janji” dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Tambah laporan itu lagi, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, beberapa model kereta daripada jenama Peugeot, Proton, Perodua, Volkswagen dan Honda masing-masing telah menyaksikan penurunan harga untuk fasa pertama

Mengenainya, pelan penurunan harga itu dilaksanakan dengan memberikan pengurangan duti eksais secara berperingkat terhadap pengeluar kereta yang menggunakan lebih banyak komponen tempatan

Menariknya, laporan turut mengatakan, petanda awal positif ini jelas menunjukkan hasrat kerajaan menurunkan harga kereta sebanyak 20 hingga 30 peratus secara berperingkat sehingga 2017 bukan satu omongan kosong seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak

Read more…

8 Jun 2013

SANTAI BERITA :: KRONOLOGI JAMBATAN KEDUA PULAU PINANG RUNTUH

Sebahagian daripada struktur jambatan kedua Pulau Pinang yang masih dalam pembinaan telah runtuh kira-kira jam 7 malam Khamis. Kejadian berlaku di kawasan darat di Batu Maung.

Berikut adalah kronologi kejadian runtuhan serta usaha-usaha menyelamat oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat sejak Khamis hingga hari ini:

Khamis, 6 Jun 2013.
6.50 petang : Penyambung susur keluar berukuran 30 meter Jambatan Kedua Pulau Pinang dalam pembinaan runtuh.


7.15 malam : Jabatan Polis Pulau Pinang menerima laporan runtuhan. 

9.05 malam : Sebuah kereta iaitu Perodua Kelisa telah disahkan tertimbus, namun masih tidak diketahui terdapat berapa mangsa yang terperangkap.



9.30 malam : Difahamkan dua pemandu wanita yang memandu Perodua Myvi berjaya menyelamatkan dirinya.


11.30 malam : Kren seberat 300 tan digunakan dalam operasi yang disertai 110 anggota.

11.35 malam : Bomba telah mengesahkan satu mayat ditemui. 

11.40 malam : Polis sahkan identiti tiga mangsa cedera.

11.45 malam : Polis menafikan laporan yang mengatakan empat individu telah meninggal dunia.

12.00 tengah malam : Kerja-kerja pembinaan juga digantung buat sementara namun pembinaan pada bahagian lainnya tidak terjejas.

Jumaat, 7 Jun 2013
3.05 pagi : Operasi menebuk bongkah konkrit bermula

5.30 pagi : Mangsa terperangkap masih gagal dikeluarkan

8.00 pagi : Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) akan membayar pampasan RM10,000 kepada setiap orang awam yang menjadi mangsa kejadian runtuhan.

8.05 pagi : JKSB memberi penjelasan besi penyokong pada struktur pembinaan jambatan tersebut dipercayai menjadi punca kepada runtuhan.

12.10 tengah hari : Polis mengakui operasi mengeluarkan mangsa mengalami kesukaran.

12.15 tengah hari: Polis memberitahu mangsa akan dikeluarkan paling lewat Jumaat malam. ** Mayat mangsa runtuhan tanjakan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dalam pembinaan di Batu Maung berjaya dikeluarkan oleh anggota pasukan keselamatan kira-kira pukul sembilan malam dalam operasi mengambil masa lebih 24 jam.

Mayat lelaki yang dikenali sebagai Tajuddin Zainal Abidin, 45 dan tinggal di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas terus di bawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mayat itu dicam oleh isteri dan abang mangsa di tempat kejadian setelah Tajuddin yang menaiki kereta jenis Kelisa tidak pulang ke rumah sejak semalam.

Mayatnya ditemui dalam keadaan tunduk di tempat duduk pemandu dan keretanya remuk akibat dihempap tanjakan konkrit itu.



2.00 petang : UEM Builders Bhd hari ini menjelaskan bahawa syarikat itu bukan kontraktor utama bagi projek Jambatan Kedua Pulau Pinang.

2.10 petang : Polis mengenal pasti pemilik kereta jenis Perodua Kelisa yang terperangkap di dalam runtuhan.



5:00 petang : Siasatan awal berhubung insiden runtuhan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) memfokuskan kegagalan sokongan struktur.

9.00 malam : Mangsa runtuhan berjaya dikeluarkan pada jam sembilan malam, dalam operasi yang mengambil masa lebih 24 jam.


Via Astro Awani News


Read more…

SANTAI BERITA :: MAJALAH TERKENAL FORBES DISAMAN PUTERA ARAB SAUDI

Putera Alwaleed 

Seorang Putera Arab Saudi, menyaman majalah antarabangsa Forbes, kerana kesalahan menyiarkan maklumat palsu mengenai jumlah kekayaan sebanyak AS$20 bilion (RM62 bilion) berbanding jumlah sebenar iaitu AS$30 bilion (RM93 bilion). 

Menurut laporan MailOnline, Putera Alwaleed Talal yang juga salah seorang ahli perniagaan terkaya dunia, mendakwa majalah berkenaan memandang rendah kekayaannya dengan meletakkannya di tangga ke-26 dalam senarai Forbes 2013.

Menurut Alwaleed, jika Forbes mengambil kira jumlah sebenar, kedudukannya akan berubah dalam senarai 10 teratas.

Majalah Forbes turut didakwa melakukan pengiraan tidak tepat sekali gus memaparkan sifat berat sebelah terhadap pelaburan dan institusi kewangan Timur Tengah.


Read more…

SANTAI BERITA :: GAMBAR TAJUDIN ZAINAL ABIDIN MANGSA JAMBATAN RUNTUH YANG BERJAYA DIKELUARKAN

Tajudin Zainal Abidin

Mayat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan tanjak penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang berjaya dibawa keluar kira-kira jam 8.40 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, mayat mangsa berjaya dibawa keluar setelah pihak penyelamat yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam(JPAM) dan polis berusaha keras sejak operasi menyelamat dijalankan sejak semalam.

"Berdasarkan daripada pakaian dan pengecaman awal keluarga, mangsa dikenali sebagai Tajuddin Zainal Abidin yang berasal dari Permatang Damar Laut dan berusia 45 tahun.



"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang(HPP) untuk dibedah siasat dan pengecaman mayat mangsa oleh ahli keluarga," katanya kepada media di lokasi kejadian, hari ini.
Menurutnya, kerja mencari akan diteruskan berikutan polis menerima maklumat daripada orang ramai bahawa kemungkinan ada mangsa lain yang terperangkap.

"Berdasarkan daripada maklumat orang ramai, kemungkinan masih ada mangsa lain yang terperangkap.

"Oleh itu, kita akan teruskan kerja mencari dan menyelamat untuk mencari mangsa lain sekiranya ada.


"Setakat ini, polis hanya menerima hanya satu laporan kehilangan ahli keluarga iaitu daripada keluarga mangsa manakala laporan lain berhubung kehilangan ahli keluarga tidak kami terima," katanya lagi.

Sementara itu, di lokasi kejadian, abang mangsa yang hadir membuat pengecaman tiba-tiba rebah sebaik melihat mayat dibawa keluar dari bawah runtuhan.

Read more…

SANTAI BERITA :: PRAMUGARI DIPUKUL TEGUR MATIKAN TELEFON BIMBIT



JAKARTA - Seorang pegawai kerajaan di Badan Nasional Penyelarasan Penanaman Modal negeri Bangka Belitung dijadikan suspek oleh polis setelah beliau dilaporkan memukul seorang pramugari yang menegurnya supaya mematikan telefon bimbit ketika di dalam pesawat.

Lelaki itu bukan sahaja memukul pramugari bernama Febriani dari syarikat penerbangan Sriwijaya Air itu, malah beliau turut memaki hamun Febriani dalam kejadian ketika pesawat itu mendarat di lapangan terbang di Pangkalpinang, Bangka Belitung, pada Khamis, media tempatan melaporkan.

Berikutan kejadian itu Febriani membuat laporan polis.

Febriani hari ini banyak mendapat sokongan masyarakat di dunia maya dan laman sosial, termasuk melalui twitter dan para penyokongnya mengutuk perbuatan pegawai negeri itu yang mereka anggap sangat sombong selain boleh membahayakan keselamatan penerbangan itu.

Dalam kejadian itu, Febriani dilaporkan dipukul di pipi kiri dan bahagian belakang kiri kepalanya oleh penumpang berkenaan dengan menggunakan gulungan surat khabar. 

Ketika itu lelaki berkenaan ditegur supaya mematikan telefon bimbitnya ketika pesawat itu hendak mendarat.

Sementara itu pegawai negeri berkenaan mendakwa beliau hanya 'menempelkan' gulungan surat khabar yang sedang beliau baca itu ke pipi Febriani kerana tidak suka diberitahu secara kasar oleh pramugari itu. 

Sumber : Bernama

Read more…

SANTAI BERITA :: HADIAH LUMAYAN UNTUK PENDAKI EVEREST

RM50,000 kepada setiap pendaki dan RM10,000 untuk anggota kumpulan sokongan dan pendaki simpanan yang menjayakan Projek Everest 2013.


PUTRAJAYA 7 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan insentif RM50,000 kepada setiap pendaki dan RM10,000 untuk anggota kumpulan sokongan dan pendaki simpanan yang menjayakan Projek Everest 2013.

Insentif yang disumbangkan oleh Felda dan Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) itu diberikan sebagai mengiktiraf kejayaan pendaki tersebut yang berjaya menakluk bumbung dunia pada bulan lalu.

Najib turut mencadangkan pendaki berkenaan dijadikan kumpulan ikon, berkongsi pengalaman mereka di Gunung Everest serta memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk melakukan usaha yang luar biasa.

Read more…

SANTAI BERITA :: WANITA BUNUH, MAKAN OTAK BAYI


 

San Antonio: Polis bandar raya ini berkata, seorang wanita dituduh memenggal kepala bayi lelakinya berusia tiga minggu menggunakan sebilah pisau dan dua pedang, selain turut memakan beberapa bahagian tubuh anaknya itu.

Ketua Polis San Antonio, William McManus memberitahu wartawan bahawa serangan Otty Sanchez terhadap anak lelakinya, Scott Wesley Buchholtz-Sanchez “terlalu kejam” untuk didedahkan sepenuhnya.

Tetapi katanya, Otty turut memakan sebahagian otak bayi itu dan menggigit tiga daripada jari kaki mangsa sebelum menikam dirinya sendiri sebanyak dua kali. Polis berkata, Otty, 33, memberitahu pihak berkuasa yang dihubungi ke kediamannya awal Ahad lalu dia membunuh bayi lelakinya atas permintaan syaitan. 

Otty didakwa dengan pembunuhan kelas pertama dan ditahan dengan ikat jamin AS$1 juta (RM3.09 juta). Dia sedang pulih daripada kecederaannya di hospital. - AP


Sumber : MyMetro

Read more…

SANTAI BERITA :: 1001 KISAH BENAR DI SEBALIK PENCEROBOHAN LAHAD DATU


KEJAYAAN kerajaan menyelesaikan krisis pencerobohan pengganas di Daerah Lahad Datu, Sabah melalui pasukan keselamatan dipimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM) benar-benar dikagumi.

Di sebalik kejayaan itu, terpahat 1001 kisah pahit selain mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan, PDRM menghadapi pelbagai kerenah dan permintaan tidak masuk akal pengganas.

Mahu dirinya diiktiraf sebagai ‘King of Borneo’, itu antara tuntutan yang disuarakan Ketua Pengganas, Agbimudin Kiram susulan rundingan tiga hari dengan PDRM.

Sinar Harian berkesempatan bertemu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Pahlawan Hamza Taib yang berkongsi pengalaman sebelum dan ketika serangan ke atas pengganas dilancarkan. 

Ikuti temubual khas bersama wartawan Sinar Harian, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPPK) Sabah.



Bolehkah Datuk ceritakan dari awal bagaimana krisis pencerobohan Lahad Datu bermula serta langkah-langkah penyelesaiannya? 

Saya menerima laporan berkenaan pencerobohan Lahad Datu pada pagi 12 Februari lalu mengatakan sekumpulan orang bersenjata mendarat di Kampung Tanduo.

Saya menghubungi Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Shamsudin Mat untuk mengesahkan perkara itu dan beliau memaklumkan kepada saya bahawa 60 hingga 80 orang mendarat di kampung itu. Sesetengahnya memakai jubah, seragam serta ‘half uniform’.


Setelah mendapat tahu perkara itu dan selepas disahkan oleh Ketua Polis Daerah Lahad Datu, apa tindakan Datuk seterusnya? 

Saya arahkan pegawai saya membuat laporan berhubung perkara ini serta menghubungi Komander Briged Sabah, Datuk Ahmad Marzuki untuk mengepung kawasan berkenaan serta menggerakkan Eastern Command.

Petang itu juga saya kumpulkan semua ketua-ketua jabatan untuk membincangkan perkara ini dan perkara pertama adalah mencari satu kod operasi yang mana nama Ops Sulu dipersetujui.

Kita telah gerakkan Ops Sulu dan kumpulkan segala maklumat yang ada. Saya juga arahkan agar Ketua Cawangan Khas untuk sahkan maklumat yang diterima, Komander Briged Sabah mengepung kawasan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) wujudkan pasukan siasatan serta melantik seorang perunding.

Langkah seterusnya adalah memaklumkan pihak Bukit Aman operasi yang dilaksanakan.


Bagaimana perjalanan rundingan antara polis dengan pihak penceroboh?

Saya bertindak selaku pegawai pemerintah dalam operasi ini dan dimaklumkan oleh perunding bahawa mereka dapat bertemu dengan pihak penceroboh yang diketuai oleh Agbimudin Kiram.

Pertemuan dengan pihak penceroboh diadakan sebanyak tiga kali iaitu 14, 15 dan 16 Februari. 

Bagaimanapun proses rundingan sebenarnya bermula sejak hari pertama, iaitu pada 12 Februari melalui telefon.


Boleh Datuk ceritakan, daripada proses perbincangan itu, apa yang Agbimudin mahukan?

Antara dituntut Agimudin adalah mahu gerombolannya dikenali sebagai ‘Royal Sulu Force’ dan bukan sebagai pihak mewakili Abu Sayaf atau Moro Islamic Liberation Front (MILF). Agbimudin juga menuntut agar orang Sulu tidak diusir keluar dari Sabah di bawah Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Asing di Sabah (RCI). Perkara ini kita boleh tunai kerana proses RCI belum habis.

Seterusnya dia minta menemui seorang personaliti dan memaklumkan personaliti itu ada di Kota Kinabalu. Kita cari dan berjaya temui dengan harapan apabila berjumpa, Agbimudin akan lembut hati dan akan keluar dari Sabah.


Apakah pihak datuk berjaya temui personaliti itu dan apa keputusan Agbimudin selepas itu?

Kita jumpa personaliti itu dan bawa orang ini masuk berjumpa Agbimudin.

Selepas itu dia minta berjumpa abangnya, Ismail Kiram. Untuk usaha ini kita juga bawa Datuk Piah dan anak Ismail Kiram, Amir Baha dari Filipina berjumpa dengan Agbimudin. Kita ambil mereka di Semporna dan temukan mereka, namun dia tetap tidak mahu beralah.



Selain itu, apa lagi tuntutan diajukan oleh Agbimudin Kiram?

Dia mahu kita iktiraf dia sebagai ‘King of Borneo’. Saya cakap dengan dia, sedangkan Kerajaan Filipina tak iktiraf dia sebagai ‘King of Borneo’, mustahil kita boleh iktiraf apa dia mahu.

Pelbagai usaha kita buat. Kita panggil isteri dia, anak dia dan libatkan Kerajaan Filipina tapi masih degil.

Selepas rundingan dan segala usaha gagal. Selaku pegawai pemerintah, adakah Datuk rasa sudah sampai masa serangan dilakukan?

Kita boleh serang, tapi ini bukan cara Malaysia. Kita tak nak ada pertumpahan darah dan ambil keputusan teruskan usaha rundingan melalui telefon.

Keadaan memang tegang ketika itu. Proses rundingan terus berjalan dan saya dipertanggungjawabkan kerajaan Malaysia buat sidang akhbar setiap hari. Memang sukar dan akhirnya selepas 20 hari proses rundingan berlangsung, kerajaan Malaysia arah serangan dilakukan.


Adakah pihak polis beri sebarang amaran kepada penceroboh sebelum serangan dilancarkan?

Dua hari sebelum serangan dilakukan, kita beri amaran kepada mereka. Kita jatuhkan risalah menggunakan helikopter dua hari berturut-turut sebelum serangan untuk meminta penceroboh serah diri. Risalah itu guna tiga bahasa iaitu Melayu, Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Sulu.

Pada masa itu, beberapa anggota penceroboh yang takut mula menyusup keluar dari Kampung Tanduo dan kita berjaya menahan mereka. Namun sebahagian besar masih bertahan di dalam kampung itu.


Boleh Datuk ceritakan bagaimana pertempuran bermula?

Pada hari pasukan keselamatan sepatutnya sampai, kita telah ketatkan kawalan di semua penjuru.

Apabila pasukan Vat69 masuk mereka terserempak dengan sekumpulan pengganas dan mereka diminta menyerah. Kerana pengganas enggan menyerah, terjadilah pertempuran menyebabkan dua anggota VAT69 meninggal dunia, manakala 15 pengganas ditembak mati.



Masa kejadian saya memang berada di situ dan bila terima berita anggota kita terkorban, saya memang rasa sedih, marah dan geram. Kalau anda berada di situ sebagai ketua ketika itu, anda juga turut rasakan perasaan sama.

Tapi kita tak nak sebarang tekanan dan serang pada hari itu sebab kita nak serang pada keesokan harinya. Kita nak elak bertempur pada Jumaat kerana kita tahu semangat mereka lebih tinggi pada hari itu, namun tidak dapat dielak. Kita terpaksa juga melaksanakan gerakan ofensif dan berjaya tembak mati 15 pengganas.


Pertempuran di Kampung Simunul pula enam pengganas maut. Boleh ceritakan bagaimana pertempuran di situ boleh berlaku?

Sebenarnya pusat persembunyian pengganas Sulu ini berada di Simunul, namun seperti kita tahu, ia merupakan sebuah kampung air. Anggota kita masuk seramai 25 orang dan berpecah kepada tiga kumpulan.

Satu kumpulanberjaya tangkap enam pengganas dalam sebuah rumah, satu kumpulan lain berada tidak jauh dari rumah itu dan berlindung di rumah lain. Manakala satu kumpulan berjaya selamatkan diri.

Untuk selamatkan mereka, kita gerakkan Unit Tindakan Khas (UTK) membantu dan selepas 22 jam kita berjaya keluarkan kedua-dua kumpulan. Dalam kejadian itu, enam pengganas ditembak mati manakala enam anggota kita terkorban.


Sepanjang Op Daulat, adakah Datuk sentiasa berhubung dengan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan bagaimana keadaan Datuk ketika itu?

Saya bernasib baik kerana Tan Sri Ismail yang bertindak sebagai penasihat operasi turut bersama saya di Felda Sahabat. Begitu juga dengan Panglima Angkatan Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkefli Zainal Abidin, keadaan ini membolehkan kami mengadakan perbincangan setiap hari dan ketika itu sememangnya masa saya cukup padat.

Saya hanya tidur empat jam dan kami dapat dengar setiap bunyi tembakan serta apa sahaja yang berlaku dari Felda Sahabat yang hanya 20 kilometer dari tempat operasi. Ketika ini saya kagum dengan kecekalan serta keberanian anggota VAT69.

Walaupun ada anggota gugur semasa operasi. Mereka masih mampu hantar laporan serta berbincang langkah yang perlu diambil.



Bagaimana Datuk bawa diri sepanjang berada di tempat operasi?

Saya berada di situ lebih 20 hari rasanya dan sepanjang tempoh itu, saya nikmati makanan bersama mereka. Tiada layanan khas. Antara menu paling lazat bagi saya ketika itu adalah nasi berlauk ikan sardin dan cucur tepung.

Kadang-kadang bila berkesempatan balik ke Kota Kinabalu sekejap, saya belikan burger atau lain-lain makanan untuk semua anggota dan bawa ke tempat operasi guna helikopter. Bukan senang jadi polis dan bayangkan bila anggota terpaksa makan dalam gelap, serta terpaksa makan sambil perhati pergerakan musuh dalam hutan


Pada pandangan Datuk, adakah pengganas ini terlatih dan bagaimana pula khabar angin mengatakan mereka kebal?

Tidak dinafikan mereka cukup terlatih dalam peperangan, bersemangat tinggi dan mereka datang ke sini untuk mati. Berkenaan kebal, susah untuk saya kata ya atau tidak.

Namun saya tidak menafikan perkara itu. Memang tidak dapat disangkal bila kita periksa mayat pengganas, hampir kesemuanya memakai tangkal.


Apa nasihat Datuk kepada anggota atau lontaran kata-kata motivasi ketika menghadapi situasi itu?

Saya nasihatkan mereka, walau apapun berlaku kita percaya kepada kuasa ALLAH, kuatkan semangat, sentiasa solat dan tabah. Jika sampai masa mereka (pengganas) mati, sama ada kebal atau tidak mereka tetap akan mati. Saya juga berpesan kepada setiap anggota bahawa kita berjuang demi mempertahankan negara dan jangan gentar hadapi musuh.


Bagaimana isteri dan anak-anak Datuk menghadapi situasi ini?

Mereka cukup tabah, tapi saya kasihan melihat isteri saya (Datin Alauyah Mohamed) yang semakin susut berat badannya kerana sentiasa risau tentang keselamatan saya.

Saya sentiasa hubunginya dan sering katakan selagi dia nampak saya di televisyen, bermakna saya selamat.

Empat anak saya pula sentiasa hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya untuk ketahui perkembangan diri saya sepanjang operasi.


Adakah insiden pencerobohan ini pengalaman paling mencabar?

Sepanjang lebih 30 tahun berkhidmat dalam PDRM, inilah pengalaman saya paling mencabar. Saya juga akui saya sangat takut PRU13 gagal diadakan di Sabah berikutan insiden ini. Bayangkan jika berlaku pengeboman semasa proses pengundian berlangsung, pasti ramai rakyat di sini takut keluar mengundi.

Bagaimanapun, syukur semua berjalan lancar dan 80 peratus rakyat Sabah keluar mengundi 5 Mei lalu.


Adakah insiden pencerobohan ini merupakan insiden tidak disangka akan berlaku ke atas negara kita?

Sebenarnya saya memang menjangkakan serangan ini akan berlaku dan kerana itulah kita bentuk Eastern Command, iaitu sistem pertahanan yang melibat polis di sekitar Malaysia Timur. Saya akan pastikan mesyuarat Eastern Command ini diadakan secara kerap bagi memastikan tiada ancaman.

Seperti sedia maklum kawasan Malaysia Timur sentiasa terdedah dengan serangan pihak luar dan kawasan ini juga terdedah dengan aktiviti pelanunan. Oleh itu, setiap pegawai yang menjawat jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan.


Apa perasaan Datuk bila ada pihak katakan insiden ini satu sandiwara dan berterusan politikkannya?

Geram bila memikirkannya, saya tak nampak macam mana insiden ini boleh dikatakan sandiwara. 73 musuh maut bukan satu mainan. 10 anggota keselamatan yang terkorban, perasaan keluarga, anak dan …apa faedah kita nak kata ini satu sandiwara? Ramai menyangka Op Daulat telah selesai sedangkan ia masih berjalan hingga kini namun dalam skala lebih kecil. Saya juga yakin Sabah ketika ini berada dalam keadaan aman dan selamat.

Sumber : SINAR HARIAN

Read more…

7 Jun 2013

SANTAI BERITA :: POLIS SAHKAN TEMUI SATU MAYAT

GEORGETOWN - Polis mengesahkan seorang mayat lelaki ditemui dalam keadaan terlangkup pada papan pemuka di dalam sebuah kereta jenis kelisa dalam runtuhan jalan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu sebentar tadi.

Pengesahan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar.

Menurutnya, polis sedang menunggu waris mangsa ke lokasi kejadian untuk mengecam mayat mangsa berikutan keluarganya ada membuat laporan polis berhubung mangsa tidak pulang ke rumahnya sejak petang semalam.

Abdul Rahim berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.



Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang Mohd Shoki Hamzah berkata pasukan penyelamat sedang memasang empat jek hidraulik untuk membuka ruang runtuhan bagi membolehkan mayat mangsa dikeluarkan.

"Jek hidraulik dipasang bagi memudahkan usaha mengeluarkan mayat mangsa kerana keretanya masih terhalang dengan sisa-sisa runtuhan konkrit dan besi.

Sebanyak empat jek hidraulik dipasang dan setiap satu mampu menampung sehingga 200 tan," katanya kepada pemberita.

Mohd Shoki berkata operasi mengeluarkan mayat agak lambat kerana memerlukan alatan dan mesin yang sesuai sambil menegaskan kerja mencari dan menyelamat dibuat mengikut prosedur.

"Setakat ini memang kita jumpa mayat seorang lelaki sahaja tetapi kita pasang jek hidraulik berkenaan bagi memudahkan kita menjalankan usaha mencari jika ada mangsa lain dalam runtuhan itu.

"Kepada soalan mengapa ia lambat (keluarkan mangsa), jawapannya ialah kerana kita menggunakan mesin dan jentera khas untuk keluarkan mangsa," katanya.

Read more…

SANTAI BERITA :: GAMBAR KERETA KELISA DIHEMPAP RUNTUHAN JAMBATAN KEDUA PULAU PINANG

Anggota bomba dan penyelamat meneruskan kerja untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan struktur penyambung antara Jambatan Kedua Pulau Pinang dengan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung, dekat sini.


Mangsa yang menaiki kereta dipercayai jenis Perodua Kelisa maut selepas dihempap runtuhan struktur Jambatan Kedua Pulau Pinang di Jalan Batu Maung dalam kejadian petang semalam.


Keadaan sebuah kereta dipercayai jenis Perodua Kelisa remuk selepas dihempap runtuhan struktur Jambatan Kedua Pulau Pinang di Jalan Batu Maung dalam kejadian petang semalam.

Polis mengesahkan empat mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Kelisa maut dihempap runtuhan sebahagian rangka susur masuk Jambatan Kedua Pulau Pinang di sini, semalam.

Sehingga jam 5.30 pagi tadi, mangsa yang disahkan terperangkap dalam sebuah kereta dipercayai Perodua Kelisa masih belum dapat dikeluarkan dari runtuhan terbabit. 

Ia kerana anggota bomba dan penyelamat menghadapi kesukaran untuk mengalihkan bebanan seberat kira-kira 200 tan yang menghempap kawasan jalan raya sepanjang 50 meter. 

Kren seberat 300 tan yang tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 11.30 malam semalam digunakan dalam operasi yang diserta 110 anggota bomba dan penyelamat itu.

Sumber : bharian.com

Read more…

6 Jun 2013

SANTAI BERITA :: BAYI LAHIR DALAM KETUBAN KETIKA MASIH BELUM PECAH




Athens – Seorang doktor menceritakan pengalaman beliau menyambut bayi yang dilahirkan dengan ketubannya masih belum pecah.

Pakar obstetrik Dr Aris Tsigris menyiarkan gambar bayi yang baru lahir itu dalam laman Facebooknya selepas menyambut kelahirannya menerusi pembedahan caesarean di Amarousion, utara Athens.

Kerana ketuban itu tidak pecah, Tsigris berkata, bayi itu tidak menyedari ia dilahirkan dan bersikap seperti masih di dalam rahim ibunya, Ketuban ialah kantung berisi cecair di dalam rahim tempat bayi yang belum dilahirkan membesar. Ia juga disebut sebagai membran kerana ketuban itu terdiri daripada dua membran yang dikenali sebagai amnion dan chorion.

Ia dipenuhi dengan cecair pudar dan jernih, tempat bayi belum lahir terapung dan bergerak.

Cecair itu bertindak sebagai pengalas, melindungi embrio daripada hentakan dan cedera di samping membekalkannya cecair yang membolehkan mereka bernafas dan telan. Ia juga mengekalkan suhu bayi dalam dalam kandungan.

Cecair amnion sebahagian besarnya ialah air, tetapi selepas 10 minggu kanak-kanak itu mengeluarkan sejumlah kecil air kencing ke dalam cecair itu.

Jumlah cecair amnion meningkat secara berperingkat ketika kehamilan sehingga minggu ke 38 apabila ia berkurangan sedikit sehingga bayi itu dilahirkan.

Biasanya, ketuban akan pecah sendiri ketika lahir, yang biasa dirujuk sebagai ‘pecah ketuban.’ Tsigris berkata, peluang ketuban untuk kekal sepenuhnya selepas lahir amat jarang. Dia mengaku terkejut melihat bayi yang baru dilahirkan yang masih dalam ketuban 12 Mac lalu.

Menurutnya, bayi itu tidak berdepan dengan bahaya kerana ia masih makan melalui uri dan mula bernafas sebaik ketuban itu pecah.

Gambar itu sudah dikongsi lebih 8,000 kali.

Aktres Jessica Alba pernah bercerita mengenai anaknya, Haven yang dilahirkan di dalam ketuban pada 2011.

“Doktor tidak pernah melihat keadaan seperti itu sebelum ini. Dia memanggil jururawat dan berkata: ‘Lihat ini. Ketika itu saya masih meneran dan dia meminta saya bertahan seminit dan tidak meneran. Tetapi ketuban itu pecah sendiri sebaik bayi keluar,” kata Jessica.

Pengalaman Jessica itu mendorong dia untuk menamakan anaknya Haven. 

Sumber : Daily Mail

Read more…