Setiap pasangan kekasih, masing-masing punya cara tersendiri untuk mengabadikan saat-saat manis bersama. Begitu juga dengan pereka fesyen bertaraf antarabangsa Jovian Mandagie, 27, dan buah hatinya, Nina Sabrina Ismail Sabri, 26. Sejak dia mengakui sedang hangat bercinta dengan kakak kepada penyanyi, Dafi itu, baik Jovian mahu Nina, kedua-duanya tidak lokek berkongsi gambar-gambar saat mereka meluangkan masa, menerusi lama sosial masing-masing.
Ramai yang menyambut baik berita percintaan pasangan ini. Mereka sama cantik, sama padan. Namun kedengaran cakap-cakap belakang sesetengah pihak kurang senang dengan cara pasangan mempamerkan saat mereka berkasih sayang.
Isu tercetus pada salah satu gambar yang menunjukkan Jovian mencium kepala buah hatinya itu, dianggap tidak sepatutnya menjadi tatapan umum memandangkan mereka belum ada apa-apa ikatan yang sah.
Apa yang dilakukan oleh Jovian dan Nina itu mungkin pada pandangan segelintir pihak, ia sesuatu yang biasa. Tetapi, Jovian seorang yang dikenali ramai, begitu juga dengan Nina yang datang dari keluarga golongan atasan terutama ayahnya seorang yang dihormati dan berkepentingan dalam kerajaan. Jadi, sudah pastilah pasangan ini menjadi tumpuan umum.
“Itu hanyalah sekadar gambar. Saya rasa kita boleh menilai sesuatu tu hanya pada gambar sahaja”, jawabnya Jovian ringkas kepada Malaysian Digest.com
Jovian yang ditemui sewaktu pelancaran butiknya, Jovian Flagship Store, bertempat di Bangsar petang semalam, diminta mengulas mengenai isu berkenaan.
Kemudian sambil tersenyum dia menambah, “Saya dan Nina, kami serius. Alhamdulillah, Tuhan beri saya rezeki dan hadirkan pada saya seorang wanita yang yang sopan santun. Saya tertarik dengan sifat ketimurannya. Dia seorang yang memahami saya. Sebab, saya ni seorang yang kuat bekerja, selalu terpaksa terbang ke luar negara atas urusan kerja. Jadi memang susah untuk saya luangkan masa bersamanya. Dating dengan dia pun jarang-jarang. Tapi dia sangat memahami saya”.
Jovian dan Nina mula berkenalan sebagai seorang pelanggan dan pereka fesyen, tetapi kemudian selepas kerap berjumpa mereka semakin rapat hingga melahirkan perasaan cinta, sejak setahun lalu.
Ditanya pula mengenai penerimaan keluarga serta perancangan masa depan mereka, Jovian memberitahu hubungan mereka direstui kedua-dua belah keluarga. Mereka sudah bertemu dan berkenalan dengan keluarga masing-masing.
Bagaimanapun buat masa ini kata Jovian, dia dan Nina belum memikirkan mahu mengakhiri cinta mereka ke jinjang pelamin kerana sekarang ini masing-masing mahu memberi tumpuan pada kerjaya dahulu.
0 comments:
Post a Comment