Penyanyi Mizz Nina tampil dengan aksi bertenaga di hadapan 1,500 penonton pada konsert Mizz Nina Around The World di KL Live di sini, malam Sabtu.
Pemilik nama penuh Shazrina Azman membuka tirai konsert tepat pada pukul 9 malam menerusi lagu rancak berjudul Just Do It dan Hit Me Up dengan persembahan cukup bertenaga.
Meneruskan momentum itu, Nina meneruskan persembahan dengan lagu With You yang pernah di popularkannya bersama kumpulan Teh Tarik Crew.
Nina turut mengundang Altimet ke pentas untuk menyanyikan lagu tersebut bersamanya.
Terus mengikat tumpuan penonton malam itu, Nina meneruskan dengan lagu rancak seperti Away With You, Yesterday dan Let Me See Get It.
Tambah menarik, set pentas rekaan Raja Malik yang berlatarkan visual grafik menerusi skrin besar dan pencahayaan berwarna-warni cukup menyerlah dan bertaraf antarabangsa.
Persembahan selingan daripada penari iringan juga bertenaga dengan pelbagai jenis tarian dipersembahkan.
Menerusi konsert ini Nina memperlihatkan kebolehan dan kepelbagaiannya sebagai penyanyi yang mampu menyampaikan lagu pelbagai genre.
Konsert itu diteruskan dengan segmen Nina menyampaikan lagu-lagu berbahasa Melayu seperti Rentak Yang Sama, Pinda Minda dan Sri Kandi yang turut menampilkan Mawar Berduri dari kumpulan Ahli Fikir.
Nina turut mengundang suaminya, Noh Salleh untuk menyanyikan lagu duet mereka, Kurnia.
Kemunculan Noh mendapat tepukan gemuruh daripada penonton dengan aksi bersahaja dengan petikan gitar secara akustik.
Pada set ketiga persembahan, Nina kembali menyampaikan lagu hitnya iaitu What You Waiting For sebelum meneruskan dengan lagu Summer Burning.
Tidak menunggu lama, kemunculan penyanyi K-Pop iaitu Jay Park menggamatkan suasana apabila dia muncul untuk mendendangkan lagu duet mereka, Around The World.
Sempat bermesra dengan penonton, Jay turut mempersembahkan tiga buah lagunya khas buat peminat yang hadir.
Konsert turut diserikan dengan kehadiran kedua ibu bapa Nina selain rakan-rakan selebriti seperti Dayang Nurfaizah, Awi Rafael dan Hanes Suraya.
Pakej konsert yang lengkap hampir pada setiap aspek termasuk susunan muzik, rekaan pentas dan pencahayaan diakhiri dengan lagu Take Over.
Sumber : mStar
0 comments:
Post a Comment