16 May 2013

SANTAI ARTIS :: CEGAH KANSER SERVIKS, TIZ ZAQYAH AMBIL SUNTIKAN HPV VIRUS


Mencegah lebih baik daripada mengubati. Atas kesedaran itu, pelakon Tiz Zaqyah telah mengambil suntikan HPV virus iaitu suntikan bagi mencegah dirinya daripada dijangkiti virus kanser khususnya kanser serviks yang sangat berisiko tinggi untuk dihidapi oleh kaum wanita.

Lebih-lebih lagi Tiz yang juga merupakan duta kepada jenama penjagaan badan, May, memberitahu dia sekarang aktif melibatkan diri dalam Kempen Kesedaran Kanser Serviks – May Care For You.

“Kalau dulu pengetahuan saya tentang penyakit kanser servik ni hanya sekadar pengetahuan asas sahaja, ada lah dalam 30%. Lagi pun dalam keluarga, alhamdulillah tak ada ahli keluarga yang ada kanser. Lagipun saya fikir, saya masih muda lagi. Jadi tu yang tak terlalu ambil tahu sangat. Saya fikir, ala nanti bila dah tua lah baru nak fikir pasal penyakit-penyakit ni.

“Tapi… sejak melibatkan diri dengan kempen May Care For You ni, saya lebih banyak mengetahui tentang penyakit ni dan lebih berjaga-jaga lah. Bayangkan doktor beritahu saya yang ada pesakit yang mengidap penyakit kanser serviks ni seawal usia 9 tahun. Takut juga mendengarnya. Jadi sejak tu saya rasa saya perlu ambil tahu”, katanya ketika ditemui di majlis sidang media Kempen Kesedaran Kanser Servik – May Care For You, bertempat di Marmalade Cafe, Bangsar, tengah hari tadi.

Kempen tersebut telah bermula sejak 1 Mei lalu dan akan berterusan sehingga 31 Julai 2013. Sepanjang berkempen setakat ini, Tiz sudah mengunjungi lima universiti sekitar Kuala Lumpur bagi memberikan introduksi tentang penyakit ini dan kemudian ada doktor pakar yang akan memberikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar.

“Kempen ni memang kita target untuk pelajar-pelajar. Sebab dalam usia mereka yang masih muda ni lah sebenarnya kita perlu ambil berat tentang kesihatan diri terutamanya mencegah daripada dijangkiti penyakit-penyakit berisiko tinggi seperti ini.

Setakat ni, kami dah menjalankan kempen ni di lima buah universiti iaitu Asia Metropolitan, UK, UPM, UM dan UitM. Alhamdulillah sambutan daripada pelajar-pelajar di semua lokasi yang kami pergi sangat mengalakkan. Saya seronok dapat sertai kempen ni. Disamping tu saya dapat berkongsi dengan pelajar – pelajar tentang pemgetahuan saya mengenai penyakit ini. Dan mereka pun ada yang bercerita tentang pengetahuan mereka”, tutur aktres putih gebu ini sambil tersenyum.

Dalam pada itu, berkongsi perasaan selepas menerima suntikan HPV yang dilakukan oleh doktor Dalilah iaitu doktor pakar daripada persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia sebentar tadi, Tiz berkata,

“Memang mengigil juga tadi. Sebab saya takut sakit. Doktor pesan suruh saya makan panadol untuk tahan sakit, tapi saya lupa pagi tadi. Tapi okay, tak sakit sebenarnya… cuma dah mula rasa kebas- kebas sikit”.

Dalam perkembangan lain, mulai esok Tiz akan sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Jodoh Itu Milik Kita. Drama yang diadaptasi dari sebuah novel itu turut membariskan pelakon seperti Farid Kamil, Nabila Huda dan Syazwan Zulkifli.


0 comments:

Post a Comment