4 Oct 2012

"Saya Bukan Kaki Propa!" - Emma Maembong



CERITA artis tidak datang sesi fotografi atau membatalkan temu janji pada saat-saat akhir sudah biasa terjadi dan senario itu lumrah dalam industri hiburan.

Perkara yang melibatkan kerjasama antara golongan selebriti dan rakan media, terutamanya wartawan adakalanya merenggangkan hubungan kedua-dua belah pihak yang saling memerlukan satu sama lain.

Terkini, kes melibatkan bintang drama Kau Yang Terindah, Emma Maembong yang baru-baru ini dikatakan gagal muncul dalam satu sesi fotografi bersama sebuah akhbar mingguan sehingga menjadi buah mulut.

Emma yang dijadualkan hadir untuk sesi tersebut pada pukul 11 pagi hari Rabu (26 September) lalu bagaimanapun gagal berbuat demikian setelah hampir dua jam wartawan dan jurusolek menanti tanpa sebarang khabar biarpun khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menjawab tuduhan kaki propa (suka menipu) yang dilabelkan kepadanya, Emma yang kini sedang mengikuti penggambaran drama bersiri Rindu Rania meluahkan perasaan kecewanya.

"Saya demam teruk sehari sebelum sesi fotografi tapi enggan membatalkan temu janji tersebut sehinggalah saya terlewat bangun 30 minit daripada waktu sepatutnya saya berada di sana. Tapi saya terus menghubungi wartawan (akhbar) tersebut untuk menjelaskan perkara sebenar dan ketika dalam perjalanan saya diberitahu tidak perlu lagi hadir ke sesi fotografi itu kerana semua kru sudah pulang." ujar Emma ketika dihubungi.

"Saya tidak putus-putus menghantar SMS, BBM (Black Berry Messenger) dan menelefon kerana rasa sangat bersalah sehingga menyebabkan mereka mencari pengganti tempat saya. Saya mohon pihaknya menukarkan sesi fotografi ke tarikh lain."

Emma menjelaskan dia tidak marah, cuma sangat terkejut dan sedikit kecewa kerana dakwaan itu menjejaskan reputasi dan prestasinya sebagai artis baru.

"Sampai ada pihak yang pada mulanya mahu menawarkan saya berlakon menghubungi saya dan meragui akan disiplin saya." kata Emma mengakhiri perbualan.

0 comments:

Post a Comment