4 Sept 2012

Kekasih Hamilton Muka Pucat Saksikan Kemalangan Ngeri!!


BRUSSELS - Wajah bekas penyanyi kumpulan Pussycat Dolls, Nicole Scherzinger pucat apabila menyaksikan teman lelakinya, Lewis Hamilton terlibat dalam satu kemalangan ngeri pada perlumbaan Grand Prix Belgium kelmarin.

Menurut akhbar dalam talian MailOnline, pelumba jentera McLaren itu berlanggar beberapa saat selepas perlumbaan bermula ekoran dia gagal mengelak kemalangan melibatkan beberapa buah kereta lumba lain di selekoh tajam litar Spa-Francorchamps di sini.

Raut wajah Nicole, 34, yang merupakan juri program realiti X Factor berubah melihat jentera Hamilton melambung ke udara selepas merempuh timbunan kereta lumba Formula Satu (F1) di hadapannya.

Namun, Nicole menarik nafas lega apabila melihat Hamilton, 27, keluar dari jenteranya dan beredar dari lokasi kemalangan tanpa tanda-tanda dia mengalami kecederaan.

Kereta lumba yang dipandu Fernando Alonso dan Romain Grosjean turut terlibat dalam nahas tersebut.

Nicole menyatakan di laman Twitternya: "Berada di Belgium pada hujung minggu ini untuk menyokong kekasih saya Lewis Hamilton untuk perlumbaannya."

Susulan kemalangan itu, dia kemudian menyatakan di laman sama: "Kami sayang dan menyokong kamu sehingga ke penghujungnya, sayang." - Agensi

0 comments:

Post a Comment