8 Mar 2013

Remy Ishak Tak Kisah Jika Ada Jodoh Dengan Maya Karin

Pelakon Remy Ishak tidak menolak jika hubungannya dengan aktres Maya Karin akan menjadi lebih istimewa pada masa akan datang selain menyifatkan wanita itu seorang yang cantik dan berkarekter.


Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Bin Ishak, 31, bagaimanapun berkata, buat masa ini hubungan itu hanya sekadar kawan rapat disebabkan keserasian yang wujud di antara mereka berdua.

“Saya dan Maya memang berkawan rapat sekarang namun sebagai kawan sahaja sebab kami mempunyai minat yang sama iaitu suka aktiviti lasak.

“Namun saya tidak tahu masa depan nanti macam mana?” katanya ditemui selepas sidang media, pratonton drama bersiri Cinta Jangan Pergi, di sini pada Rabu.

Remy diminta mengulas tentang gambar-gambar percutiannya bersama Maya Karin yang dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya, baru-baru ini.

Gambar-gambar yang dirakam di Sabah itu telah menimbulkan spekulasi tentang hubungan kedua-dua pelakon yang sebelum ini pernah digosipkan bercinta.

Jelas Remy, dia menyertai aktiviti tersebut kerana memenuhi pelawaan Maya yang ingin mengkaji haiwan dan ekologi di hutan simpan, Imbak Canyon, Sabah.

“Aktiviti meredah hutan itu adalah undangan dari Yayasan Sabah iaitu selama empat hari.

“Kita diiringi renjer hutan dan pakar ekologi, di mana kami menambah pengetahuan tentang hidupan di dalam hutan itu,” katanya.

Remy berkata, minat terhadap aktiviti lasak dan alam semula jadi menjadikan mereka lebih akrab dan sering bertukar pendapat.

Ditanya tentang keserasian bersama, katanya, dia selesa dan senang berkawan dengan aktres itu.

Remy turut menyifatkan Maya seorang wanita yang bijak, cantik dan mempunyai karakter tersendiri.

Dalam pada itu, menjawab tentang tindakannya yang sering merahsiakan hal peribadi, kata Remy, dia tidak pandai untuk bercerita tentang kisah cinta dan perasaan.

“Saya bukan mengelak tapi saya memang seorang yang pendiam dan tidak banyak cakap.

“Saya sebenarnya tidak tahu untuk bercerita hal peribadi terutamanya melibatkan kisah percintaan,” ujarnya.

Dia juga lebih suka memilih untuk berdiam diri jika berlaku sesuatu kontroversi.

0 comments:

Post a Comment