Saya akui, saya memang mengharapkan Shila menang pada malam ini kerana saya tahu Shila sudah banyak berusaha untuk mencapai apa yang dia miliki pada hari ini. Namun, saya tidaklah meletakkan harapan yang terlalu tinggi, sebab bimbang akan kecewa pula nanti seandainya tidak menang,” ujar Sharnaaz yang turut menemani Shila ke malam kemuncak Anugerah Industri Muzik 19 (AIM 19) yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada Sabtu.
Ditanya tentang hadiah yang bakal diberikan kepada buah hatinya itu, Sharnaaz tanpa berselindung mengakui dia belum memikirkan hadiah yang sesuai kerana masih berasa terkejut dengan kejayaan Shila itu. Walaupun begitu, Sharnaaz sempat memberitahu yang dia menganggap detik-detik kejayaan Shila di pentas AIM 19 cukup bermakna kepada dirinya kerana ia turut dikongsi bersama ibunya yang turut hadir.
“Saya rasa cukup seronok kerana pada malam ini bukan hanya saya dan ibu Shila yang ada bersama–sama dia, tetapi ibu saya juga turut hadir. Ini membolehkan kami berkongsi saat-saat gembira ini bersama-sama dan saya anggap detik ini cukup indah bagi kami berdua,” ujar Sharnaaz.
Oleh kerana karier Shila kini berada di puncak, Sharnaaz turut ditanya sama ada dia berasa bimbang atau tidak Shila akan menangguh-nangguhkan rancangan perkahwinan mereka. Jelas jejaka ini, dia tidak melihat kejayaan Shila itu sebagai satu faktor yang akan menghalang perancangan perkahwinan mereka.
“Saya dan Shila sebenarnya sudah bersedia untuk berkahwin. Kemenangan Shila pada malam ini tidak menjadi penentu sama ada kami akan berkahwin cepat atau lambat. Tetapi ia bergantung kepada perancangan kami sendiri. Kalau ikutkan hati memang saya hendak kahwin cepat. Namun, baik saya mahupun Shila perlukan masa untuk buat perancangan bagi melangkah ke alam perkahwinan. Berkahwin ini tanggungjawabnya besar. Jadi, kami tidak mahu terburu-buru. Sebagai orang Melayu, untuk sampai ke alam perkahwinan itu pun, banyak proses yang perlu dilalui sebab mengikut adat,” ujar Sharnaaz.
0 comments:
Post a Comment