Apabila berita pertunangan ini mula tersebar, pasti yang ramai tahu apa reaksi Aliff Aziz bukan? Biarpun tiada lagi hubungan cinta di antara mereka, tetapi ramai yang percaya Aliff berasa tertampar dengan berita pertunangan itu. Malah, timbul desas-desus mengatakan Alif mengalirkan air mata selepas mendapat tahu tentang perkara itu.
Kesempatan bertemu dengan Aliff di majlis sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 pada Rabu membuka ruang kepada pihak media untuk mendapat penjelasan lanjut daripada penyanyi dari Singapura ini.
“Alhamdulillah doa saya dan dimakbulkan Allah. Saya selalu doakan supaya dia (Anne) akan dapat kebahagian yang diidamkan. Biarpun tidak bersama saya, tetapi saya gembira kerana dia dapat apa yang dia mahukan. Semoga jodohnya dengan lelaki itu berkekalan dan majlis perkahwinan mereka nanti berjalan dengan lancar,” luah Aliff yang menafikan dia menangis setelah mendapat tahu tentang perkara itu.
“Saya dapat tahu pasal pertunangan ini apabila ada kawan-kawan yang telefon beritahu. Mula-mula saya ingat mereka main-main, tetapi setelah saya baca di Twitter dan cari info di internet, barulah saya percaya bahawa perkara itu memang benar. Bohong kalau saya katakan saya langsung tidak rasa apa-apa tentang pertunangan itu. Bagaimanapun, susah hendak saya jelaskan dengan kata-kata tentang perasaan saya itu.
Apa yang pasti perasaan saya itu bukanlah satu perasaan yang orang lain ingin rasakan. Walau apa pun, saya terima ketentuan Allah. Sudah jodoh dia dengan lelaki itu. Saya hanya dapat doakan yang terbaik untuknya. Hidup perlu diteruskan dan saya bersyukur kerana masih punya keluarga, kawan-kawan dan peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap saya,” ujar Aliff lagi.
Sebelum mengakhiri perbualan, Aliff sempat memberitahu sehingga kini dia tidak pernah menyesal mengenali Anne Ngasri. Baginya, Anne adalah seorang wanita yang cukup sempurna.
0 comments:
Post a Comment