10 Aug 2012

Pembukaan Legoland Pertama Asia Di Nusa Jaya, Johor


JOHOR BAHARU: Pembukaan taman tema Legoland di Nusa Jaya dekat sini pada 15 September bakal menyaksikan Malaysia menawarkan satu lagi tarikan eksotik untuk pelancong.

Ramai yang sudah biasa dengan blok lego yang memerlukan individu, terutama kanak-kanak, menggunakan kreativiti bagi membina sesuatu.

Taman tema itu yang menggunakan hampir 50 juta kepingan lego, menawarkan kepada pelawat peluang menyaksikan keunikan pelbagai binaan daripada kepingan-kepingan lego ini serta peluang bagi seluruh keluarga membina sesuatu berdasarkan bakat dan kreativiti mereka.

Berkeluasan hampir 30.8 hektar, Legoland Malaysia ialah taman tema Lego keenam di dunia dan yang pertama di Asia.

NUSA JAYA

Baru-baru ini penulis menyertai program Kembara Media Fotografi Cuti-Cuti 1Malaysia ke Johor dan dibawa melawat ke taman tema ini.

Pengurus Besar Legoland Malaysia, Siegfried Boerst yang menyambut rombongan media itu berkata taman tema berharga RM700 juta di wilayah Iskandar Malaysia, Johor itu kini sudah 90 peratus siap dan bakal dibuka 15 Sept depan.

Katanya taman itu menampilkan tujuh tema khas iaitu 'Lego kingdom', 'Imagination', 'Land of adventure', 'Lego technic', 'The beginning', 'Lego city'dan 'Miniland'. Taman-taman itu direka khas bagi keluarga yang mempunyai kanak-kanak berusia dari dua hingga 12 tahun.

Taman tema itu dibangunkan oleh Kumpulan Merlin Entertainments, syarikat pembina taman tema kedua terbesar di dunia. Syarikat itu menandatangani perjanjian dengan Iskandar Investment Berhad (IIB) pada Disember 2008 dan memulakan pembinaan pada hujung 2009.

KEMUDAHAN DAN TARIKAN

"Legoland Malaysia dibina mirip legoland yang ada di Deustchland, Jerman dan teknologinya dimajukan sama seperti Legoland, Florida. Jadi Legoland Malaysia merupakan antara legoland terbaik yang pernah dibina," katanya.

Antara kemudahan yang disediakan di taman tema itu ialah restoran, surau dan tempat letak kenderaan.

'The Big Shop' kedai menjual lego terbesar di Asia Tenggara akan dibuka bersebelahan pintu masuk utama taman tema itu.

Tiga permainan menarik dikhususkan buat kanak-kanak berumur di bawah 11 tahun iaitu City Fire Academy, Driving School dan Boating School. Bagaimanapun permainan itu masih memerlukan pengawasan dewasa.

Di 'City Fire Academy', empat pemain diperlukan iaitu kanak-kanak dan dua dewasa yang akan berlawan dengan keluarga lain untuk memadamkan api menggunakan jentera bomba lego.

'Driving School' pula memberi peluang kanak-kanak memandu kereta mini lego yang memerlukan mereka mematuhi arahan lalu-lintas serta peraturan disediakan.

Setelah tamat permainan, mereka akan diberikan lesen yang membolehkan mereka bermain di situ setiap kali melawat Legoland, manakala di 'Boating School' pula kanak-kanak dibenarkan mengemudi bot kecil sambil ditemani seorang dewasa.

PERSPEKTIF BERBEZA

Di 'Miniland' pula, pengunjung dihidangkan dengann perspektif berbeza kerana mereka akan merasakan diri seolah-olah seperti gergasi yang berjalan di tengah-tengah bandar raya mini.

Di situ ditempatkan model bangunan mini yang menjadi mercu tanda negara dan Asia antaranya Menara Kuala Lumpur, Bangunan Sultan Abdul Samad, Taj Mahal, Angkor Wat dan Menara Kembar Petronas (KLCC) setinggi hampir 10 meter yang menjadi struktur bangunan lego tertinggi pernah dibina di Legoland.

Boerst berkata menjadi satu kemestian buat setiap taman legoland mempunyai taman mini kerana perkara itu adalah satu daripada tarikan utama bagi memperlihatkan keunikan bangunan berskala kecil.

"Di Miniland, kemahiran anak tempatan juga turut digunakan dalam pembinaan model lego di sini. Seramai 20 pembina model dari Malaysia turut bekerjasama dalam kumpulan pembina model sedia ada," katanya.

Satu lagi tarikan di Legoland Malaysia ialah permainan roller coaster dipanggil Dragon Coaster yang akan membawa pengunjung memasuki Istana Lego di Lego Kingdom dan merasai pengalaman di bilik penyiksaan, ruang makan diraja dan melihat khazanah berharga yang dijaga seekor naga!

Di bahagian 'Imagination' pula kanak-kanak boleh meningkatkan kreativiti mereka dengan cuba mencipta pelbagai benda yang terlintas di fikiran menggunakan lego yang disediakan dan terdapat sebuah menara tinjau berketinggian 50 meter bagi membolehkan pengunjung melihat pemandangan keseluruhan taman tema itu.

TAMAN TEMA AIR

Boerst yang berpengalaman lebih 20 tahun membangunkan taman tema serupa itu berkata terdapat rancangan untuk membina taman air tahun depan dan sebuah hotel pada tahun 2014 bagi kemudahan pengunjung.

Katanya pembukaan taman tema itu secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

"Di sini kami turut membuka hampir 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat kerana apabila ia siap sepenuhnya, penduduk setempat juga akan mendapat manfaat daripada pelaburan yang dibuat," katanya.

Lebih 45,000 pas tahunan telah dijual dan angka itu meliputi penjualan tiket bagi pengunjung dalam dan luar negara.

Pas tahunan berharga RM245 bagi orang dewasa dan RM180 bagi kanak-kanak itu sah hingga akhir 2013 manakala pemegang MyKad pula akan mendapat rebat RM30 di pintu masuk.

"Setakat ini tiket masuk harian dijual melalui roadshow oleh bahagian pengurusan kami dengan harga tawaran pengenalan khas sebanyak RM96 bagi orang dewasa dan RM70 bagi kanak-kanak dan kami menjangkakan dapat menarik sejuta pengunjung dalam tahun pertama ia beroperasi," katanya.

TARIKAN UTAMA JOHOR

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Amirul Asyraf Ibrahim, berkata kewujudan Legoland Malaysia bakal menempatkan Malaysia dan Johor khususnya dalam peta industri pelancongan dunia.

"Pembinaan Legoland itu adalah sebahagian daripada program Pembangunan Wilayah Iskandar.

"Di samping pembinaan Legoland, Iskandar Malaysia juga bakal menempatkan tarikan pelancongan lain seperti kawasan Puteri Harbour yang akan mempunyai taman tema permainan berasaskan kartun seperti Lat, Hello Kitty dan di wilayah itu juga sebuah studio penggambaraan filem, Pine Wood Studio, akan turut didirikan yang dijangka siap pada 2013," katanya.

0 comments:

Post a Comment